Friday, November 20, 2009

MENITI PERUBAHAN ZAMAN : AKU DULU & KINI

Salam JUMAAT buat semua...

Pagi yang indah di hari yang mulia ini, terasa benar ketenangannya hingga membuatkan aku leka melalui hari-hari semalam. Bertemankan dendangan lagu-lagu nostalgia lama, bagaikan aku kembali kepada kisah dan sejarah silam yang sudah agak lama aku tinggalkan.

Kalau dulu, pagi-pagi begini memang terasa sejuk menggigit tulang-temulang ketika waktu di kampung bersama keluarga. Berebut-rebut selimut dari seorang kepada seorang menahan kesejukan, bagaikan menjadi amalan setiap malam. Siapa yang kuat, dialah yang akan berselubung keenakan merasai hangatnya selimut yang hanya selembar. Itu kisah aku di kala umur kanak-kanak. Kini masing-masing sudah ada selimut sendiri yang tebal-tebal.

Mencoret kisah silam, bagaikan satu pita rakaman video sedang berlegar di benak fikiran. Sebut apa sahaja peristiwa dan kenangan, semuanya masih segar dalam rakaman fikiran. Semalam, baru sahaja keputuan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan di seluruh negara. Menariknya ketika peperiksaan ini diperkenalkan pada tahun 1988, aku menjadi perintis kedua selepas peperiksaan Penilaian Darjah 5 dimansuhkan.

Aku adalah generasi kedua (tahun kedua) sistem sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. Masa itu satu benda pun aku kurang pasti akan kehendak kerajaan memperkenalkan KBSR. Yang penting bagi aku, datang sekolah awal dan balik apabila loceng berbunyi. Aku masih ingat lagi ketika menduduki peperiksaan ini pada tahun 1989 iaitu 20 tahun yang lalu. Peperiksaan dijalankan selama 3 hari untuk 4 kertas iaitu kertas Bahasa Malaysia 1 (Objektif), kertas Bahasa Malaysia 2 (Karangan), kertas Bahasa Inggeris dan kertas Matematik. Ini bermakna, target setiap pelajar adalah untuk mendapatkan 4A berbanding 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5 sebelum ini.

Bukan persoalannya apa keputusan UPSR yang aku diperolehi ketika itu, tetapi sekadar merenung antara perubahan zaman anak-anak Malaysia yang menduduki peperiksaan tersebut antara tahun 1989 berbanding 2009 kini. Memang jauh bezanya. Dahulu, segala kekuatan pelajar untuk menempuh peperiksaan bergantung penuh kepada usaha guru-guru. Pelajar sekadar mengadaptasi apa yang mereka pelajari. Kalau mereka faham semasa di kelas, senanglah menjawab soalan-soalan yang dicetak pada kertas bersaiz A4 berwarna biru muda itu.

Tetapi hakikatnya pada masa kini, usaha tersebut sudah luas skopnya melibatkan peranan banyak pihak. Ibubapa terutamanya menjadikan kelas-kelas tambahan atau tuisyen sebagai medium untuk mendalami pengetahuan anak-anak. Jika dulu, inisiatif guru amat kuat untuk mengadakan kelas-kelas malam yang lazimnya diadakan antara jam 8.00 hingga 10.00 malam. Masih segar dalam ingatan aku, selepas menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran sekolah dengan berbaju Melayu, bersongkok dan berkain gombang pelikat terus sahaja ke kelas malam semata-mata demi mendapatkan sedikit ilmu tambahan dan latihan menjawab soalan peperiksaan daripada apa yang diperoleh dalam kelas biasa pada waktu siang.

Memang jauh bezanya antara dahulu (1989) dan sekarang (2009). Kalau dahulu kami masih tidak mengetahui apa itu komputer atau internet di peringkat sekolah rendah. Tetapi kini, anak-anak seawal usia 6 dan 7 tahun sudah boleh melayari laman sesawang (website) untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Itu belum lagi yang bakal menduduki UPSR. Sudah pasti internet menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat tambahan. Betapa beruntungnya mereka pada masa kini.

Walau apapun itu cerita dahulu. Kata orang-orang tua; lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Kalau dulu hendak mendengar anak kampung yang mendapat 4A memang boleh dikira dengan jari. Sekarang, jumlahnya Masya-Allah berlipat kali ganda.

Sekadar merakamkan penghargaan buat mengenang beberapa orang guru yang pernah menabur jasa dan bakti kepada aku dan kawan-kawan antara tahun 1984 - 1989. Terima kasih Cikgu Mohkhilas Hamsin, Cikgu Hamidah Mardi, Cikgu Noraini Wahid, Cikgu Zainon, Cikgu Kassim Dahalan, Cikgu Sariani Sarman dan ramai lagi di Sekolah Kebangsaan Seri Ladang, Rengit Batu Pahat, Johor. Sekali lagi TERIMA KASIH CIKGU... (Kepada yang telah pergi, Al-Fatehah dikirimkan semoga roh cikgu ditempatkan di kalangan orang yang beriman)...

Kepada rakan-rakan lama dari Tahun 1 (1984) - Tahun 6 (1989) di SKSL, teruskan perjuangan anda untuk menjadi rakyat Malaysia yang berjaya. Antaranya; Baharin Mesir, Mayawerda Mohd Salleh, Suzilawati Baharuddin, Mohd Khairul Syah Hamdan, Norazman Abdul Rahman, Mohd Tajul Ariffin Abdul Rahman, Fieda Attrah Mohammed, Azianerdawati Kasimin, Zulina Sejo, Hanim Khanafi, Azman Fadillah, Hamidah Khamis, Siti Suziana Rubai, Mohd Azri Ishak dan mereka-mereka yang pernah belajar sekelas dengan aku... Selamat Maju Jaya.

( mybachelorman.blogspot.com )

No comments:

Post a Comment