Thursday, September 22, 2011

OH KOTA KU : KUALA LUMPUR...

Kuala Lumpur atau kini dikenali sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, merupakan sebuah kotaraya terbesar yang menjadi ibu negara Malaysia dengan keluasan 244 km2. Berdasarkan bancian tahun 2010, sejumlah 1.63 juta orang menjadi penduduk di tengah-tengah kota metropolitan yang pesat membangun ini manakala sebahagian lagi penduduk yang mendiami sebahagian negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Lembah Klang mencecah 7.2 juta orang.


SEJARAH AWAL

Sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada tahun 1850-an, ketika itu seorang Pembesar Melayu Klang, Raja Abdullah telah mengupah buruh-buruh Cina untuk membuka lombong timah yang baharu dan lebih besar. Mereka tiba di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk membuka lombong di Ampang. Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar di kawasan kuala sungai tersebut ialah Pengkalan Lumpur dan lama-kelamaan diberi nama Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, perusahaan lombong timah semakin berkembang dan dibuka di sekitar Pudu dan Batu.

Disinilah pertemuan kuala Sungai Gombak (Sungai Lumpur) dan Sungai Klang
yang dikatakan menjadi asal-usul nama Kuala Lumpur...
(lokasi tersergamnya Masjid Jamek Kuala Lumpur hingga ke hari ini)


Setelah itu perusahaan lombong-lombong timah di sekitar Kuala Lumpur semakin berkembang sebagai kawasan perdagangan yang maju dan kemudiannya diterima menjadi sebuah bandar sempadan. Bagaimanapun berlaku banyak kemelut di bandar Kuala Lumpur yang usianya masih muda ketika itu, terutamanya peristiwa Perang Saudara Selangor, serangan wabak penyakit, kejadian kebakaran dan banjir.

Sekitar tahun 1870-an, seorang Kapitan Cina, Yap Ah Loy menjadi pemimpin yang bertanggungjawab memastikan pertumbuhan pesat dan sistematik di bandar ini. Beliau mula membangunkan Kuala Lumpur dari sebuah tempat kecil yang tidak dikenali kepada bandar perlombongan yang sangat maju. Pada tahun 1880, ibu negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur yang jauh lebih strategik.

Pada tahun 1881, berlaku bencana iaitu kebakaran besar disusuli banjir besar yang memusnahkan banyak struktur kayu atap bangunan-bangunan di Kuala Lumpur. Residen British di Selangor ketika itu, Frank Swettenham bertindak mewajibkan semua bangunan baharu dibina daripada batu-bata dan jubin sahaja. Kebanyakan bangunan batu-bata yang dibina menyerupai rumah kedai seperti di kawasan selatan negara China dengan ciri-ciri kaki lima dan juga hasil kemahiran pertukangan kayu China.

Berikutan kepesatan pembangunan pada era 1890-an, maka wujudnya sebuah Lembaga Kebersihan (Sanitary Board) dan pada tahun 1896, Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baharu. Pengangkutan ke bandar juga dipermudahkan dengan pembinaan landasan keretapi.

Berikutan kemajuan yang berlaku, pelbagai komuniti masyarakat berlainan keturunan mencari tempat tinggal di merata Kuala Lumpur. Kaum Cina menetap di sekitar pusat perdagangan Medan Pasar (Market Square) di timur Sungai Klang, ke arah Pekan Cina (sekarang Jalan Petaling). Manakala kaum Melayu, Chettiar India, dan India Muslim menetap di sepanjang Java Street (kini Jalan Tun Perak). Sementara sebuah padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka pernah menjadi pusat pejabat pentadbiran British.

Pemandangan Dataran Merdeka pada ketika dahulu...

Suasana Jalan Bukit Bintang sekitar tahun 1950-an...
Pemandangan kawasan Bukit Aman ketika dahulu...
Pintu masuk Hospital Besar Kuala Lumpur ketika dahulu...

PRA-KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

Ketika Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur ditawan oleh tentera Jepun pada 11 Januari 1942 dan menguasainya ke seluruh Tanah Melayu sehingga 15 Oktober 1945. Penjajahan Jepun berakhir apabila panglima besar Tentera Kawasan Ketujuh Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, Seishiro Itagaki menyerah kalah kepada pentadbir British selepas peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Kuala Lumpur pernah melalui detik hitam dan meredah zaman peperangan, krisis kejatuhan nilai getah dan timah dunia serta zaman darurat ketika Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan komunis.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada pemerintah British. Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara dan kekal sehinggalah kepada pembentukan Malaysia (kemerdekaan Sabah, Sarawak dan Singapura) pada 16 September 1963 (sekarang dikenali sebagai Hari Malaysia) sehingga ke hari ini.

Tanggal 13 Mei 1969 menyaksikan rusuhan kaum di Malaysia meletus antara kaum Melayu dan Cina di Kuala Lumpur. Episod berdarah itu mengorbankan 196 nyawa, lantas pembaharuan besar dalam dasar ekonomi negara dilakukan untuk keadilan sosial yang menyeluruh.

Kuala Lumpur mencapai status bandar raya pada tahun 1972, menjadikannya petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan. Pada 1 Februari 1974 pula, Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan dan kemudiannya menyerahkan status ibu negeri Selangor kepada Shah Alam pada tahun 1978.

Pada 14 Mei 1990, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyambut perayaan 100 Tahun penubuhannya dengan memperkenalkan lagu dan bendera bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada 1 Februari 2001, Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan juga pusat kerajaan persekutuan Malaysia yang baharu. Fungsi-fungsi pentadbiran dan kehakiman kerajaan kini beralih dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Namun begitu, Kuala Lumpur masih mengekalkan fungsi perundangan dan juga kekal sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong.


No comments:

Post a Comment