Friday, September 23, 2011

KENALI BENDERA : WILAYAH PERSEKUTUAN

Wilayah Persekutuan memiliki bendera rasminya. Bendera ini telah mula digunakan pada 23 Mei 2006 bagi semua acara rasmi yang melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Bagaimanapun, bendera-bendera milik setiap wilayah masih digunakan dalam acara-acara tertentu yang melibatkan Wilayah Persekutuan yang berkenaan.

Semasa Sukan Malaysia di Kedah pada tahun 2006, buat pertama kalinya; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya disatukan ke dalam kontinjen tunggal Wilayah Persekutuan dengan menggunakan bendera yang baharu.

BENDERA : WILAYAH PERSEKUTUAN

Ciri-ciri bendera Wilayah Persekutuan menerapkan warna asas Jalur Gemilang yang melambangkan Wilayah Persekutuan adalah milik Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.

  • Warna kuning membawa maksud kedudukan yang dihormati, dimuliakan dan kedaulatan;
  • Warna biru mambawa maksud perpaduan, keikhlasan, kestabilan, keharmonian dan kebenaran; dan
  • Warna merah membawa maksud semangat waja, kekuatan, keberanian dan bertenaga.
  • Jata Negara pula melambangkan Wilayah Persekutuan sebagai jajahan penting yang meneraju pemerintahan, pentadbiran dan pusat perniagaan negara.
  • Tiga bintang di bawah Jata Negara membawa maksud tiga Wilayah Persekutuan terpenting iaitu; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bernaungn dan mendokong Wilayah Persekutuan.

BENDERA : WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan konsep dan warna Jalur Gemilang yang berjalur putih dan merah, warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur merupakan Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.
  • 14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
  • Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi.
  • Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan Pentadbiran.
  • Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
  • Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.
  • Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.
  • Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya.

BENDERA : WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Jalur Gemilang membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.
  • Merah melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia.
  • Putih melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
  • Biru melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi.
  • Kuning melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Bulan bintang berwarna kuning yang menjadi lambang keIslaman dan Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur merah, putih dan biru menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.

BENDERA : WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Bendera baharu bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua warna utama iaitu biru dan kuning. Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.



No comments:

Post a Comment