Saturday, August 14, 2010

SETAKAT MANA PENDIDIKAN DI SEKOLAH BOLEH MENGUBAH JATIDIRI SESEORANG...!!!

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- MCA percaya gejala membuang bayi boleh diatasi melalui pendidikan dan perubahan mentaliti masyarakat. Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pendidikan kesihatan reproduktif boleh membantu menghalang atau menangani kehamilan tidak dirancang.

"MCA percaya cadangan hukuman mati ke atas mereka yang membuang bayi adalah keras dan akan merumitkan lagi keadaan," katanya kepada penberita di sini hari Jumaat. Beliau mengulas cadangan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya disiasat mereka yang membuang bayi sehingga mati di bawah Seksyen 302 Kanun Jenayah atas tuduhan membunuh.

Ng berkata MCA akan melakukan kempen untuk membangkitkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif bagi menangani gejala seksual di kalangan remaja. Namun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong keputusan kerajaan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang membuang bayi.

Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata hukuman berat perlu dikenakan ke atas pesalah yang mempunyai niat membunuh atau cuba untuk membunuh bayi agar kes seperti itu tidak berulang. "Beberapa langkah perlu dititikberatkan bagi menangani masalah ini termasuklah menerapkan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran kemahiran hidup di sekolah serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada ibu bapa terhadap masalah ini," katanya.

Beliau berkata penerangan secara meluas juga perlu diberi kepada golongan remaja dan belia bahawa setiap tindakan yang diambil akan memberi kesan kepada masa hadapan mereka. "Selain itu, pusat rehabilitasi sosial perlu diwujudkan segera untuk membantu dan memberi perlindungan kepada remaja yang terlanjur dan mengandung," katanya.

Katanya walaupun pelbagai langkah boleh diambil, pihaknya tetap percaya bahawa pencegahan awal melalui sistem pendidikan masih perlu diutamakan bagi membendung masalah pembuangan bayi. "Penekanan pendidikan berteraskan nilai-nilai murni akan membendung segala bentuk ancaman sosial kepada masyarakat kita terutama kepada golongan muda dan belia yang akan mengambil alih teraju kepimpinan negara satu hari kelak," kata Lee.

-- BERNAMA

[[ APA KATA MY|BACHELORMAN : Sistem pendidikan di negara ini sejak dahulu lagi sudah menekankan soal-soal nilai murni dan sivik kepada pelajar sejak dari awal persekolahan bermula daripada prasekolah (tadika) sehinggalah ke sekolah menengah. Nilai-nilai murni ini bukan sahaja diterapkan dalam matapelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (pelajar bukan Melayu), malah meliputi pelbagai matapelajaran lain. Soalnya, masalah pembuangan bayi yang seakan menjadi barah dalam budaya masyarakat kita hari ini bukan disebabkan kelemahan sistem pendidikan sedia ada. Letaklah pelbagai bab atau topik dalam sistem pendidikan bagi membendung gejala ini, kalau hendak berlaku ia akan berlaku juga. Tidak mustahil, pelajar yang mendapat gred A dalam matapelajaran sivik atau Pendidikan Moral sekalipun jika nafsu sudah menguasai diri tanpa pemerhatian keluarga nescaya perkara sebegini boleh berlaku. Pokok pangkalnya, kita lihat institusi kekeluargaan hari ini. Kalau dulu anak ramai mudah dijaga dan diasuh oleh ibu bapa. Sekarang anak seorang atau dua pun payah diasuh disebabkan faktor semasa. Ramai ibu bapa yang bekerja dan seakan terabai dalam soal mengasuh anak-anak. Jangan percaya sangat kepada anak-anak kita di luar sana... Depan kita mungkin pijak semut tak mati, belakang kita tak tahu apa mereka buat. Fikir-fikirkan... Penerapan dalam pendidikan persekolahan anak-anak tidak mencukupi... Ia menjadi tanggungjawab semua pihak. ]]

No comments:

Post a Comment